Pages

Sunday, November 7, 2010

Penguasaan Ilmu Secara Al-Hikmah


Antara ciri-ciri keistimewaan Islam adalah ianya menekankan aspek kesempurnaan dalam setiap bidang yang dapat dicapai oleh potensi manusia. Maka, dalam bidang ilmu juga, Islam memberi pedoman yang jelas untuk menguasainya secara sempurna. Penguasaan ilmu pengetahuan yang sempurna hanya melalui sistem pendidikan yang telah digariskan oleh agama Islam sendiri atau lebih dikenali sebagai sistem pendidikan Islam.

Antara tradisi ilmu dalam Islam adalah ianya menyemai unsur kehambaan dalam jiwa manusia seterusnya membentuk sebuah gambaran dan penghayatan yang jelas terhadap tujuan kehidupan manusia. Maka, ia memusatkan tujuan tindakan seseorang kepada suatu tujuan yang pasti dan hakiki iaitulah “mencari keredhaan Allah s.w.t..

Ketika Islam membentangkan suatu pelan sistem pembelajaran dan pendidikan, maka ianya tersemat dalam unsur hikmah itu sendiri. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Allah mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang telah diberikan hikmah bererti dia telah diberikan kebaikan yang sangat banyak” (Surah Al-Baqarah: 269)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Hikmah adalah ciciran orang beriman. Maka, di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak mendapatkannya.”

Hikmah dari sudut bahasanya bererti kebijaksanaan atau wisdom. Ia juga berkaitan dengan falsafah kerana falsafah dari sudut bahasa asalnya iaitu bahasa Yunani adalah pencinta kebijaksanaan (philo sophos).

Namun, nilai kebijaksanaan dalam ukuran Islam tidak terbatas semata-mata kepada ilmu pengetahuan tetapi turut melibatkan sumbernya (epistemologi ilmu) dan nilai faedahnya (aksiologi ilmu) bagi seseorang insan. Bahkan, sumber ilmu dalam konsep al-hikmah ini adalah berteraskan panduan wahyu yang disingkapi oleh hati (nurani). Ia sangat mementingkan aspek kemurnian hati sebagai sumber ilmu yang paling utama kerana ianya adalah tempat berinteraksi dengan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, aspek pengetahuan melalui dalaman diri (self-knowledge) atau lebih dikenali sebagai ilmu ladunni dan sebagainya adalah sangat penting dalam penguasaan ilmu secara hikmah ini. Sumber hati adalah lebih utama ketika ianya dipandukan oleh pedoman wahyu, berbanding sumber akal dan sumber pancaindera.

Dalam masalah nilai dan faedah ilmu, maka Islam sangat menekankan suatu ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat bukan sekadar ilmu yang dapat memajukan sudut kebendaan, bahkan lebih penting adalah ianya dapat menyempurnakan kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t.. Ilmu yang menambah kesempurnaan kehambaan adalah ilmu yang bermanfaat di sisi Islam. Ianya juga adalah hikmah dalam erti kata yang lain.

Maka, inilah yang cuba ditanam dan diterapkan dalam pusat pengajian ini, iaitu tradisi ilmu yang islamik berteraskan konsep hikmah ini. Imam Al-Ghazali r.a. telah menyebut struktur umum bagi modul perlaksanaan ke arah penguasaan al-hikmah ini. Unsur tasawwuf sangat penting dalam usaha untuk menjayakan penguasaan ilmu berteraskan al-hikmah ini.

Pembentukan Jati DIri Pelajar Melalui Sistem Pendidikan Islam




1) Kenal Diri Sebagai Muslim: Para pelajar menghayati makna diri mereka sebagai muslim lalu membangunkan sudut intelek dalam diri mereka dengan rasa bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam.

2) Bertauhid: Para pelajar semakin mengenal Allah s.w.t. dengan penguasaan mereka terhadap ilmu.

3) Minda Islamik: Para pelajar merasa sangat menghargai tamadun Islam dan berusaha membangunkan sudut penguasaan ilmu demi kecemerlangan tamadun Islam.

4) Pembangunan Akhlak Mulia: Para pelajar dapat membentuk akhlak mulia melalui proses mencontohi akhlak mulia yang terdapat dalam diri para guru yang  mulia.

5) Tersemai Unsur Kehambaan: Para pelajar menjalani kehidupan sebagai hamba Allah lalu menunaikan tanggungjawab kehambaan mereka dalam kehidupan seharian.

Masalah-masalah yang Timbul daripada Kepincangan Sistem Pembelajaran


1) Krisis Identiti: Para pelajar tidak menyedari kepentingan jati diri sebagai seorang muslim dalam sebuah masyarakat intelek.

2) Anti-Tauhid: Para pelajar tidak mencapai Ma’rifatullah walaupun sudah banyak menguasai ilmu pengetahuan.

3) Minda-Barat: Para pelajar lebih suka mencontohi nilai kebudayaan Barat kerana mereka menyangka tamadun Barat adalah pemimpin dalam tamadun ilmu.

4) Krisis-Nilai: Para pelajar tidak dapat menjadikan para guru sebagai contoh dalam akhlak lalu membentuk suatu persepsi bahawa akhlak mulia hanyalah suatu teori dan khayalan yang bersifat tidak praktikal dan tidak relevan.

5) Jiwa Materalistik: Para pelajar akan menjalani kehidupan secara individualistik kerana sibuk mengejar kepentingan material lalu mengabaikan tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat.