Pages

Showing posts with label al-hikmah. Show all posts
Showing posts with label al-hikmah. Show all posts

Friday, December 17, 2010

Pengenalan Ringkas Pusat Tuisyen Baitul Hikmah



Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4)  Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5) (Surah Al-Alaq: 1-5)

Dalam ayat ini Allah s.w.t. menjelaskan agama Islam adalah sebuah agama yang mengajak kepada penguasaan ilmu pengetahuan. Bahkan, ayat ini juga menjelaskan antara kaedah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan adalah pembacaan. Namun, nilai ilmu yang digambarkan oleh Al-Qur’an adalah suatu ilmu yang boleh membawa kepada mengenal Allah s.w.t. (Ma’rifatullah). Cara untuk mencapai ilmu yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an tersebut (iaitu ilmu yang membawa kepada mengenal Allah s.w.t.) adalah dengan tradisi pembelajaran Islam yang diamalkan oleh para ulama’ silam lalu diwariskan kepada generasi seterusnya.

Para ulama’ mengembangkan suatu tradisi pembelajaran ilmu yang sangat bersepadu dan holistik untuk memastikan nilai ilmu yang dikuasai bukan sekadar membawa kepada maklumat semata-mata, tetapi turut membawa kepada nilai kehambaan dalam diri manusia serta membawa kepada mengenal Allah s.w.t. yang merupakan penghayatan aqidah yang tinggi dalam Islam.

Tradisi pembelajaran ini semakin ditinggalkan kerana kecenderungan ramai pihak untuk mencontohi tradisi pembelajaran Barat. Maka, ketirisan ini membawa kepada kepentingan untuk mengetengahkan semula tradisi pembelajaran Islam sebenar. Maka, pusat tuisyen ini sedikit sebanyak berusaha untuk menyediakan tradisi tersebut berdasarkan rujukan-rujukan para ulama’ muktabar dalam bidang pendidikan seperti Imam Al-Ghazali, Imam Fakhruddin Al-Razi, Sheikh Hasan Al-Atthar (bekas Sheikhul Azhar), Sheikh Abdul Halim Mahmud (bekas Sheikhul Azhar) dan sebagainya.

Ia sangat penting bagi para pelajar di peringkat menengah untuk mendekati tradisi pembelajaran Islam bahkan menguasai ilmu pengetahuan melalui tradisi tersebut agar mereka tahu tujuan sebenar mereka mengusai bidang ilmu pengetahuan serta membentuk rasa bertanggungjawab dalam diri mereka terhadap ilmu yang telah mereka pelajari.

Kita sering dengar berita di mana anak-anak muda menghadapi krisis moral walaupun sebahagian mereka menguasai bidang akedemik dengan baik. Ini kerana sistem pembelajaran tidak membantu dalam menghubungkan antara ilmu dengan amal sebagaimana yang dapat dilakukan oleh sistem pembelajaran Islam.

Sunday, November 7, 2010

Penguasaan Ilmu Secara Al-Hikmah


Antara ciri-ciri keistimewaan Islam adalah ianya menekankan aspek kesempurnaan dalam setiap bidang yang dapat dicapai oleh potensi manusia. Maka, dalam bidang ilmu juga, Islam memberi pedoman yang jelas untuk menguasainya secara sempurna. Penguasaan ilmu pengetahuan yang sempurna hanya melalui sistem pendidikan yang telah digariskan oleh agama Islam sendiri atau lebih dikenali sebagai sistem pendidikan Islam.

Antara tradisi ilmu dalam Islam adalah ianya menyemai unsur kehambaan dalam jiwa manusia seterusnya membentuk sebuah gambaran dan penghayatan yang jelas terhadap tujuan kehidupan manusia. Maka, ia memusatkan tujuan tindakan seseorang kepada suatu tujuan yang pasti dan hakiki iaitulah “mencari keredhaan Allah s.w.t..

Ketika Islam membentangkan suatu pelan sistem pembelajaran dan pendidikan, maka ianya tersemat dalam unsur hikmah itu sendiri. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Allah mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang telah diberikan hikmah bererti dia telah diberikan kebaikan yang sangat banyak” (Surah Al-Baqarah: 269)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Hikmah adalah ciciran orang beriman. Maka, di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak mendapatkannya.”

Hikmah dari sudut bahasanya bererti kebijaksanaan atau wisdom. Ia juga berkaitan dengan falsafah kerana falsafah dari sudut bahasa asalnya iaitu bahasa Yunani adalah pencinta kebijaksanaan (philo sophos).

Namun, nilai kebijaksanaan dalam ukuran Islam tidak terbatas semata-mata kepada ilmu pengetahuan tetapi turut melibatkan sumbernya (epistemologi ilmu) dan nilai faedahnya (aksiologi ilmu) bagi seseorang insan. Bahkan, sumber ilmu dalam konsep al-hikmah ini adalah berteraskan panduan wahyu yang disingkapi oleh hati (nurani). Ia sangat mementingkan aspek kemurnian hati sebagai sumber ilmu yang paling utama kerana ianya adalah tempat berinteraksi dengan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, aspek pengetahuan melalui dalaman diri (self-knowledge) atau lebih dikenali sebagai ilmu ladunni dan sebagainya adalah sangat penting dalam penguasaan ilmu secara hikmah ini. Sumber hati adalah lebih utama ketika ianya dipandukan oleh pedoman wahyu, berbanding sumber akal dan sumber pancaindera.

Dalam masalah nilai dan faedah ilmu, maka Islam sangat menekankan suatu ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat bukan sekadar ilmu yang dapat memajukan sudut kebendaan, bahkan lebih penting adalah ianya dapat menyempurnakan kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t.. Ilmu yang menambah kesempurnaan kehambaan adalah ilmu yang bermanfaat di sisi Islam. Ianya juga adalah hikmah dalam erti kata yang lain.

Maka, inilah yang cuba ditanam dan diterapkan dalam pusat pengajian ini, iaitu tradisi ilmu yang islamik berteraskan konsep hikmah ini. Imam Al-Ghazali r.a. telah menyebut struktur umum bagi modul perlaksanaan ke arah penguasaan al-hikmah ini. Unsur tasawwuf sangat penting dalam usaha untuk menjayakan penguasaan ilmu berteraskan al-hikmah ini.